Daripada AZMAN MD. NOR
HELSINKI (Finland) 17 April - Kejayaan tiga pelajar Malaysia menggondol tiga pingat emas pada Festival Sains, Teknologi dan Alam Sekitar di sini telah membuka mata banyak pihak terhadap usaha negara dalam pemuliharaan alam sekitar.
Berikutan itu, peserta negara terus mendapat permintaan untuk membentangkan kertas kerja berkenaan isu alam sekitar hari ini.
Ketiga-tiga peserta negara yang merupakan anak peneroka dari Baling, Kedah itu, Mohd. Khairul Effendy Che Wan, 17, Som Jud Muniandy, 16 dan Muhamad Fazrel Ashraf Azizan, 15, sekali lagi turun ke dewan persidangan di Areena Joensuu di sini untuk menyampaikan kertas kerja bertajuk 'Penanaman Pokok, Perubahan Cuaca dan Kajian Kualiti Air'.
Mohd. Khairul ketika ditemui berkata, para pengunjung di sini begitu terpegun dengan persembahan negara dalam projek tersebut.
"Hari ini kami diminta membentangkan lagi kertas kerja atas permintaan penganjur iaitu Environment Online (ENO) Finland," katanya.
Kemenangan negara dalam festival itu turut mendapat liputan meluas beberapa akhbar tempatan yang menganggap Malaysia begitu mengambil berat tentang penjagaan alam sekitar.
Penyelaras peserta negara, S. Kalaimani berkata, beberapa negara termasuk Finland mula melihat Malaysia sebagai negara yang mengambil berat tentang alam sekitar.
Menurutnya, pembentangan mengenai penanaman dan pemuliharaan kawasan paya bakau di Kuala Gula, Perak dan Padang Salim, Kuala Muda, Kedah itu memberikan kelebihan buat peserta negara.
Kata beliau, pihaknya mengambil masa sejak lima bulan lalu untuk membuat persediaan sebelum berjaya membawa pulang kemenangan.
Sementara itu, Pengasas ENO Dunia, Mika Vanhanen ketika ditemui berkata, penyertaan Malaysia dalam festival itu membuktikan negara turut prihatin terhadap isu alam sekitar.
"Bagi ENO, kejayaan Malaysia membuktikan isu alam sekitar menjadi asas penting kepada perubahan dan tanggungjawab," katanya.
Tambahnya, apa yang disampaikan peserta negara mengenai pemuliharaan kawasan paya bakau khususnya oleh pelajar-pelajar memberikan gambaran bahawa generasi muda perlu didedahkan dengan penjagaan alam sekitar.
Katanya, banyak negara sudah bercakap mengenai Malaysia yang banyak memperjuangkan isu alam sekitar khususnya di kawasan paya laut.
No comments:
Post a Comment